Tarikh: 18 November 2013 - 3:36pm
Bahagian Perkhidmatan Farmasi (BPF), Kementerian Kesihatan Malaysia
(KKM) sentiasa berusaha untuk memastikan semua produk farmaseutikal
termasuk ubat tradisional dan suplemen kesihatan yang dijual di Malaysia
berkualiti, berkesan dan selamat untuk digunakan. Semua produk
farmaseutikal yang ingin dijual di Malaysia perlu didaftarkan dengan
Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) sebelum boleh dipasarkan kepada
pengguna. Kawalan ke atas penjualan produk farmaseutikal ini telah
dimulakan pada tahun 1985 dengan fasa pertama bagi pendaftaran produk
yang mengandungi racun yang tersenarai dalam Akta Racun 1952.
Penguatkuasaan pendaftaran produk ini diteruskan dengan produk bukan
racun (OTC) pada tahun 1988, produk tradisional pada 1992 dan
disusuli oleh produk veterinar yang akan dikuatkuasakan mulai tahun
2014. Setiap produk farmaseutikal yang telah didaftarkan akan diberi
satu nombor pendaftaran yang khusus (contoh MAL 20001564T) dan perlu
dicetak pada label atau pembungkusan produk tersebut.
Pada
awalnya, penguatkuasaan penggunaan nombor pendaftaran ini berkesan dan
dapat membantu pengguna untuk membeli ubat dengan selamat. Walau
bagaimanapun pemantauan pasaran yang dilakukan oleh Bahagian
Penguatkuasaan Farmasi, KKM telah mengesan kewujudan produk
farmaseutikal yang menggunakan nombor pendaftaran palsu ataupun milik
produk lain. Ini kerana nombor pendaftaran ini mudah ditiru dan
pengguna mungkin sukar untuk mengesahkan kesahihannya sewaktu di
pasaran.
Bagi mengatasi masalah ini dan mengembalikan keyakinan
pengguna, satu langkah penambahbaikan telah diambil dengan pengenalan
penggunaan pelekat hologram Meditag pada semua produk farmaseutikal.
Hologram ini telah mula digunakan pada tahun 2005 dan mempunyai pelbagai
ciri keselamatan yang boleh diperhatikan oleh pengguna dan juga oleh
pegawai penguat kuasa farmasi. Hologram ini dikeluarkan oleh Syarikat
Mediharta Sdn Bhd dan hanya dibekalkan kepada pengilang ataupun
pengimport yang dilesenkan oleh KKM bagi memastikan ianya tidak disalah
guna oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Semua produk berdaftar
perlu mempamerkan nombor pendaftaran produk dan label hologram Meditag
pada label atau pembungkusannya. Hologram versi pertama ini telah
digantikan dengan versi kedua pada tahun 2006 dengan peningkatan ciri
keselamatan dan bagi memudahkan pengguna.
Bagi membolehkan
pengguna memeriksa ketulenan label hologram Meditag yang terdapat
pada kotak ubat, KKM juga telah membekalkan sejenis alat yang
dinamakan dekoder Meditag. Alat ini telah dibekalkan kepada semua
premis farmasi berlesen dan pejabat Cawangan Penguatkuasaan Farmasi di
setiap negeri. Pengguna boleh memeriksa ketulenan label hologram
Meditag pada produk yang dibeli dengan menggunakan alat ini. Pengguna
digalakkan agar membeli produk kesihatan daripada premis yang sah
seperti kedai farmasi dan mendapatkan khidmat nasihat ahli farmasi
sebelum membeli sebarang jenis ubat kerana kekeliruan boleh berlaku
disebabkan oleh rupa bentuk atau tuntutan perubatan yang hampir sama.
Ahli Farmasi sedia membantu anda dalam memeriksa ketulenan produk yang
dibeli.
Pengguna juga boleh menyemak kesahihan
nombor pendaftaran produk dengan melayari Iaman web Biro
Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan di www.bpfk.gov.my.
Maklumat berkaitan produk berdaftar boleh disemak secara
terus melalui Iaman tersebut. Nombor pendaftaran yang tidak
wujud dalam sistem tersebut adalah dikhuatiri palsu.
Selaras dengan perkembangan sains dan teknologi dan bagi mengelakkan
pemalsuan, hologram versi ketiga (Meditag III) telah diluluskan untuk
digunakan mulai 1 November 2012. Hologram ini dilengkapi dengan
ciri-ciri keselamatan terkini dan lebih mesra pengguna. Sebarang
pertanyaan atau maklumat tambahan, berhubung perkara ini sila hubungi :
Bahagian Penguatkuasaan Farmasi,
Kementerian Kesihatan Malaysia
Lot 36, Jalan Universiti,
46350 Petaling Jaya, Selangor.
Tel : 03-78413200 Faks : 03-79682251
Laman web : www .pharmacy.gov.my
E-mel: pharmacy1@moh.gov.my
No comments:
Post a Comment